Kota Jogjakarta sebuah kota yang sangat terkenal dalam kalangan backpackers. Kota ini terletak di bahagian Jawa Tengah, Indonesia. Selain bandaraya yang terkenal dengan hasil seni tersendiri, Jogjakarta memiliki banyak tempat yang menarik dan menjadi buruan pengembara dari seluruh dunia.

Gunung Merapi, Jogjakarta

Gunung Merapi

Sebagai salah satu kawasan ‘ring of fire’ di dunia, Indonesia memiliki gunung-gunung baik gunung berapi yang tidak aktif hingga gunung yang masih terus bergolak yang membentang dari Sumatra hingga ke Papua. Salah satu gunung berapi teraktif di Indonesia bahkan dunia adalah Gunung Merapi.

Kami memulakan perjalanan ke Wisata Gunung Merapi lebih kurang pukul 5.00 pagi. Kami perlu menempuh perjalanan jauh yang memang mencabar dengan trek yang berbatu kasar dan penuh berliku ke kawasan Gunung Berapi dengan menaiki Jeep. Jeep yang kami naiki tidak berbumbung, jadi kebarangkalian untuk tercampak keluar dari Jeep amat tinggi disebabkan laluannya berlubang dan tanah yang tidak rata kesan dari ledakan gunung berapi. Jadi kami perlu memegang besi Jeep dengan erat!

Dengan suasana hening pagi yang sejuk dan mendamaikan di kaki gunung, layan pemandangan matahari terbit di sini memang sangat cantik dan terpesona! Keren banget sih!

Selepas itu, kami melawat ke Bunker. Bunker dibina di bawah tanah oleh kerajaan Indonesia untuk menyelamatkan penduduk daripada awan panas Gunung Merapi. Ada beberapa buah Bunker yang dibina, setiap satunya boleh memuatkan 40 orang penduduk. Di dalamnya terdapat satu bilik air dan satu bilik stor penyimpanan makanan dan barang-barang kecemasan.

Semasa tragedi letusan Gunung Merapi yang mengeluarkan lava pada tahun 2010, terdapat 2 orang sukarelawan cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam Bunker itu. Tetapi kedua-duanya meninggal dunia. Seorang meninggal di dalam bilik air kerana masuk ke dalam kolah air kerana dia kepanasan dan disangka air kolah itu sejuk. Seorang lagi meninggal di depan pintu Bunker kerana tak tahan panas dan terlampau lemah. Sadis! Selepas itu, terus semua Bunker ini ditutup.

Muzium Sisa Hartaku

Rumah yang terletak pada lereng Gunung Merapi tepatnya di kampung Petung, Kepuharjo, Cangkringan, Sleman, Jogyakarta ini bukan rumah biasa. Rumah ini menjadi saksi kedasyatan letusan Gunung Merapi pada tanggal 5 November 2010. Rumah kepunyaan pasangan Kimin, Wati dan anaknya Sriyanto telah diubah menjadi muzium mini Sisa Hartaku.

Indonesia berada di atas jajaran lingkaran gunung berapi yang berjumlah 500 kesemuanya dan 129 daripadanya masih aktif. Akibat tsunami pada tahun 2004, ada gunung berapi yang tidak meletup beribu tahun, menjadi aktif semula seperti Gunung Sinabung yang meletus pada tahun 2013.

Letusan Gunung Merapi 2010 bermula pada hari Selasa tanggal 26 Oktober 2010, apabila Gunung Merapi memulakan satu siri letusan yang berterusan sehingga bulan November. Letusan ini dinyatakan pihak berkuasa sebagai yang terbesar sejak 1870-an.

Lebih 100,000 orang telah dipindahkan dari kawasan terbabit. Namun, masih ramai yang tinggal atau kembali ke rumah mereka semasa gunung ini masih meletus. Kepulan asap dan abu gunung berapi ini turut menyebabkan gangguan besar terhadap penerbangan di seluruh Jawa.

Seramai 352 orang nyawa yang terkorban semasa letusan ini. Ada yang kini telah berpindah ke tempat yang jauh sedikit dari kawasan letusan. Namun ada juga yang masih di situ. Di sini dihimpunkan beberapa sisa yang tertinggal selepas letusan tersebut.

Terdapat juga Al-Qur’an yang diletakkan di rak. Hebatnya kekuasaan Allah s.w.t. apabila gelas yang diperbuat daripada kaca boleh cair tetapi Al-Qur’an yang diperbuat daripada kertas cuma terbakar sedikit sahaja di bahagian tepi dan dalamnya tidak rosak langsung. Tempat ini sangat menarik untuk dijadikan iktibar dan diteladani.

Batu Alien

Batu ni dinamakan Batu Alien kerana berbentuk seakan-akan wajah manusia. Dipercayai datangnya dari letusan Merapi tahun 2010. Batu ni sangat besar berdiameter dalam 2 meter lebar. Batu ini tercampak sejauh lebih kurang 17 KM dari puncak Gunung Merapi!

Candi Prambanan

Candi Prambanan dikenali juga sebagai Candi Rara Jonggrang. Candi ini yang terletak di desa Prambanan, Jogjakarta merupakan kompleks candi Hindu yang terbesar bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga di Asia Tenggara. Candi Prambanan juga termasuk sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, sebagai salah satu candi termegah dan Candi Hindu Tercantik di Dunia!

Ada sebuah legenda yang selalu diceritakan masyarakat Jawa tentang candi ini. Alkisahnya, seorang lelaki bernama Bandung Bondowoso sangat mencintai seorang gadis, Puteri Roro Jonggrang. Tetapi Puteri Roro Jonggrang membenci Bandung kerana Bandung telah membunuh ayahnya dan menakluk negeri tersebut. Bandung (raja kawasan tersebut sewaktu itu) telah memaksa Jonggrang berkahwin dengannya. Oleh sebab itu, Jonggrang telah memberikan syarat (ala-ala puteri Gunung Ledang) kepada Bandung untuk membina 1000 Candi dalam masa 1 malam.

Namun, ternyata Bandung memiliki ilmu sihir. Dia memanggil jin-jin untuk menolongnya membina 1000 Candi. Masa hampir siap bilangan ke 999 arca yang dibina Bondosowo, Jonggrang berasa tidak puas hati, lalu memerintahkan penduduk kampungnya keluar bekerja dan menumbuk padi seolah-olah hari telah siang. Maka berkokok la ayam-ayam jantan sekalian kampung, ingatkan suasana sudah pagi. Dengan harapan Bandung gagal menyiapkannya.

Semua jin yang menolong Bandung lari kembali ke tempat asal, dan meninggalkan Candi ke-1000 terbengkalai (dinamakan sebagai Candi Sewu). Kecewalah si Bandung Bondowoso kerana tak sempat menyiapkan 1000 arca dalam satu malam! Bandung rasa tertipu lalu menyumpah Jonggrang untuk menjadi patung dan merupakan candi terakhir di Candi Prambanan.

Candi Borobudur

Candi Borobudur diwartakan sebagai salah sebuah tapak tinggalan sejarah oleh UNESCO dan merupakan Candi Buddha yang terbesar di dunia. Borobudur adalah stupa Buddha mazhab Mahayana. Ia mula dibina sekitar tahun 750 hingga 850 oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya. Nama Borobudur diambil sempena nama salah sebuah kampung berhampiran iaitu kampung Bore manakala Budur adalah Candi jadi ia membawa maksud Candi Bore.

Borobudur dibina sebagai tempat pemujaan penganut agama Buddha kerana ketika itu seluruh pulau mistik Jawa didiami penganut Buddha. Setiap tahun, sambutan Hari Wesak telah disambut di sini pada bulan Mei. Pembinaan semula kuil Borobudur menyebabkannya semakin terkenal di kalangan penganut Buddha dari seluruh dunia. Hari Wesak adalah untuk memperingati hari kelahiran, nafas penghabisan dan masa apabila Boddhisatva menjadi Buddha.

Pengaruh Buddha dan Hindu merosot dengan ketibaan agama baru iaitu agama Islam. Sehingga kini hanya terdapat 2 juta penganut Hindu Buddha di Indonesia dengan tumpuan di Pulau Bali. Selepas Islam, pengaruh Kristian turut berkembang luas di Indonesia selama 350 tahun dengan jumlah penganut seramai 5 juta orang.

Kemerosotan Borobudur semakin teruk apabila ia ditimbus oleh abu lava gunung berapi. Terdapat dua buah gunung berapi yang masih aktif iaitu Gunung Sundoro-Sumbing dan Gunung Merbabu-Merapi di Sungai Progo. Kawasan ini terpilih sebagai tempat pembinaan kuil kerana penduduknya ramai dan pertanian padi sawah dapat dijalankan kerana tanah lava gunung berapi sangat subur.

Candi ni mengalami beberapa kali pengstrukturan semula dek kerana gempa bumi dan juga letusan gunung berapi yang telah merosakkan binaan candi ini. Ia mengambil masa yang agak lama untuk pulih kepada sedia kala.

Pantai Timang

Pantai Timang terletak di Kabupaten Gunungkidul, Daerah Istimewa Jogjakarta. Akses menuju ke pantai ini agak terhad. Jalan menuju ke arah pantai ini masih banyak yang belum diterokai kerana lokasi pantai ini cukup terpencil.

Pantai Timang memiliki pemandangan yang sangat menawan dengan pasir putih yang terhampar bersih disepanjang pesisir pantai ni. Akan tetapi, pantai ini curam, dan tidak sesuai untuk mandi manda. Dari jauh kelihatan batu besar yang seolah-olah terapung di lautan. Ada kumpulan pelancong yang dah pun menyeberang ke sana. Inilah tarikan utama di pantai timang iaitu gondolanya!

Dibalik kerasnya perjuangan menuju kesana, ternyata Pulau Timang tempat yang paling baik untuk mencari hasil laut. Masyarakat setempat sering menggunakan kereta gantung ataupun dipanggil gondola ini menuju Pulau Timang untuk mencari hasil laut yang banyak terdapat di sana terutamanya udang galah.

Lobster

Jika datang ke Pantai Timang, jangan lupa menikmati hidangan udang galahnya yang sangat enak! Isinya sangat lembut dan manis! Harganya juga sangat murah!

Kalibiru

Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Kalibiru antaranya flying fox, skytrail. Tetapi, tarikan utama para pelancong yang datang ke sini adalah untuk bergambar di atas platform yang berlatarbelakangkan pemandangan gunung ganang dan tasik biru.

Terdapat beberapa spot untuk bergambar di atas platform. Anda perlu memanjat tangga untuk sampai ke atas platform yang terletak tinggi di atas pokok. Sebagai langkah keselamatan, harness akan dipasang dipinggang sebelum menaiki tangga. Photographer akan standby untuk mengambil gambar di seberang. Gambar boleh dibeli dan dimasukkan terus ke dalam handphone.

Kopi Joss

Kopi joss dibuat dengan gula, kopi dan air mendidih, lalu ditambahkan dengan arang panas. Saat arang panas dicelupkan, maka terdengarlah bunyi josss pada kopi. Sebab itu lah namanya Kopi Josss. Emangnya bunyi Jossssssss…. Ketika dihirup, kuatnya rasa kopi berpadu dengan aroma terbakar. Rasanya yang unik sambil menikmati kehidupan hiruk pikuk kota jogja di malam hari.

Malioboro Street

Sebelum pulang ke Malaysia, shopping dulu di Jalan Malioboro. Terdapat pelbagai pilihan menarik untuk membeli cenderahati dari batik, baju, beg ke keychain dengan harga yang murah. Anda boleh juga menaiki kereta kuda mengelilingi Bandar Jogjakarta!

Ada apa dengan Jogjakarta? Ternyata, Jogjakarta adalah daerah istimewa di hati para pengembara dengan keindahan gunung berapinya, pantai pasir putih yang cantik dan banyak tinggalan tapak candi yang unik dan bersejarah!

— Artikel ini disumbangkan oleh : Cik Nadzirah Hata —

Baca: Ekspedisi Ke Gunung Rinjani oleh Nadzirah Hata