Nama Rinjani sudah lama terngiang di telingaku. Gunung Berapi Rinjani terletak di Pulau Lombok. Banyak yang mengatakan gunung tersebut sebagai gunung terindah di Indonesia. Gunung yang juga menjadi gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia selepas Gunung Kerinchi di Sumatera ini mempunyai banyak keistimewaan. Mulai dari keindahan savana Sembalun yang dimilikinya yang selalu saja membuat mata terpesona, disamping sejarah panjangnya hingga terbentuk Danau Segara Anak yang begitu cantik, keramahan porter-porter Rinjani yang punya langkah seperti kuda serta kekuatan seperti badang. Akhirnya terlaksana juga impianku untuk mendaki gunung dengan sejuta pesona ini.

Berdasarkan kepercayaan masyarakat setempat, Dewi Anjani merupakan seorang ratu dalam kalangan jin Islam. Tokoh legenda ini merupakan seorang puteri raja, mempunyai sebuah kerajaan dan singgahsananya ada di Puncak Rinjani. Kerana beliau tidak direstui untuk berkahwin dengan lelaki pujaannya, maka beliau menghilang dan mendiami alam ghaib. Hingga saat ini, Gunung Rinjani menjadi tempat yang begitu keramat bagi masyarakat setempat. Secara turun-temurun, kaum setempat menjadikannya sebagai lokasi pelbagai ritual.

Tanggal 5 Mei 2017, aku bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menaiki Air Asia. Dari KLIA2 aku menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok juga menaiki Air Asia dengan penerbangan yang mengambil masa selama 3 jam. Setibanya di Lombok barulah aku berjumpa dengan semua ahli ekspidisi group B88outdoors ni yang diketuai oleh Hafiq. Selain itu, misi kali ni aku ditemani oleh adikku, Arief, Meon dan isterinya Afifah, Deen, Riff, Atoq dan Wan. Setibanya di Lombok, kami dijemput oleh Pak Supir menuju ke Bandar Mataram, iaitu ibu kota Lombok yang dikenali sebagai bandar seribu masjid dan pulau sejuta maling.

Baca :12 Tips Beli Tiket Penerbangan Dengan Harga Yang Murah

Masjid-masjid megah dan mewah akan mudah dijumpai di setiap desa di sepanjang perjalanan di pulau ini. Dipanggil Pulau Sejuta Maling pula bukan bermaksud di Lombok ini ramai pencuri dan tidak aman, tetapi ia berkait dengan cara perkahwinan bagi Suku Sasak yang harus dilakukan dengan cara melarikan anak gadis orang! Mujur aku tidak diculik oleh maling! Hahah.

6 Mei 2017, hari kedua di Lombok adalah hari kami mula mendaki. Pendakian kami bakal ditemani oleh dua orang guide, iaitu Ali dan Hasan. Manakala porter pula akan membawa barang untuk kami seperti khemah, sleeping bag, carry mat, makanan, air, periuk, pinggan, cawan, dapur dan juga tong gas! Bayangkan beban yang harus dipikul dibahu mereka seberat 30kg sehingga 40kg menaiki gunung demi kelangsungan hidup!

Salah seorang porter kami dengan beban yang dibawa ketika berada di kaki Gunung Rinjani

Salah seorang porter kami dengan beban yang dibawa ketika berada di kaki Gunung Rinjani

Aku sangat kagum dengan kekuatan fizikal mereka dan juga berasa sedikit sedih dan insaf kerana ada yang berkaki ayam sahaja, berbaju koyak, lusuh dan malah ada pak cik yang sudah berusia lebih separuh abad masih lagi melakukan kerja berat dan memerah keringat demi sesuap nasi. Rinjani masih menjulang tinggi, menunggu untuk didaki dan para porter telah siap menanti. Terima kasih porter! Jasamu dikenang!

Kami memulakan pendakian pada pukul 10 pagi. Dari base camp Sembalun sampai ke Pos 1 mengambil masa 3 jam dengan berjalan santai. Pesona Rinjani sudah mula kelihatan dari awalnya dengan pemandangan indah ladang lembu di kaki gunung. Cuaca memang amat terik namun menyejukkan mata dengan padang rumput yang luas. Jangan lupa sapu sunblock dan pakai topi!

Ladang lembu di kaki gunung.

Sementara kami sedang bergelut untuk mendaki, bertembung pula dengan ramai peserta yang sedang menuruni gunung dengan begitu pantas untuk ke garisan penamat. Pada tarikh ini terdapat acara tahunan ‘Rinjani 100’ iaitu larian marathon merentasi Taman Nasional Gunung Rinjani. Terdapat 13 check points dan tempat berhenti yang harus dilewati peserta untuk tamat dalam cut off time dalam tempoh 36 jam. Bermula dari Desa Senaru ke Pelawangan Senaru, Danau Segera Anak, puncak Gunung Rinjani dan seterusnya ke Desa Sembalun, Fuhhh! Nak mendaki ke puncak pun kami sudah habis separuh nyawa apatah lagi mahu berlari naik gunung! Memang hebat! Bukan calang-calang peserta yang menyertai pertandingan ini. Terdapat juga wakil peserta dari Malaysia. Salute!

Pemandangan padang savana Sembalun yang luas.

Kemudian kami sambung berjalan di padang savana indah nan panas menuju ke Pos 2. Akhirnya, setelah 40 minit perjalanan dari Pos 1, kami tiba di Pos 2. Kami beristirehat disini sambil makan tengahari dengan hidangan yang dimasak oleh porter iaitu nasi berlauk ayam goreng, buah nenas, sayur beserta air teh panas. Layanan yang diberikan oleh porter dan guide sangat baik kepada kami para pendaki persis seorang tetamu! Semuanya telah siap terhidang.

Awan teduh sesekali bergerak menghiasi langit di atas kepala kami.

Selepas itu, kami meneruskan lagi perjalanan. Kesan luasnya savana Sembalun membuatkan semua yang jauh kelihatan dekat. Awan teduh sesekali bergerak menghiasi langit di atas kepala kami. Jam 3.00 petang, kami tiba di Pos 3 Rinjani untuk berehat sebentar dan melepaskan lelah sebelum melalui jalur yang ditunggu-tunggu iaitu Bukit Penyesalan.

Bergambar bersama papan tanda Pos 3 Rinjani.

Inilah dia Bukit Penyesalan yang harus kami tempuhi.

Lebih kurang tujuh bukit harus didaki sebelum sampai di Pelawangan Sembalun, iaitu base camp di Gunung Rinjani. Saat pendakian di Bukit Penyesalan, bermulalah trek tanah padat dan batu besar yang curam dan mencanak tanpa bonus sedikitpun! Disini kami merasakan pendakian yang panjang seperti tiada kesudahan dengan bukit yang sentiasa diselubungi kabus tebal. Trek ini benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan fizikal kami. Inilah fatamorgana kecil yang biasanya di alami sang pendaki. Dan dengan keluh kesah, ketika ini memang terbit sedikit penyesalan yang memang bertepatan dengan namanya Bukit Penyesalan dengan sisa sisa tenaga yang masih berbaki sedikit.

Pelawangan Sembalun base camp.

Akhirnya pukul 6 petang kami semua selamat sampai di Pelawangan Sembalun pada ketinggian 2700 meter dari paras laut. Rasa lelah setelah melewati Bukit Penyesalan dibayar dengan pemandangan Gunung Rinjani yang tersergam indah dari lereng tapak perkhemahan kami.

Sunset di Pelawangan!

Selepas makan malam, kami semua masuk ke dalam khemah masing-masing untuk tidur. Malam tu terasa begitu sejuk sekali walaupun telah diselubungi sleeping bag, baju sejuk tebal dan sarung tangan. Bolehlah lelap seketika sebelum dikejutkan pada pukul 1 pagi, bersiap sedia untuk summit attack!

7 Mei 2017, sedang kami bersiap, makanan pun sudah tersedia dihantar oleh porter terus ke dalam khemah kami sebelum mendaki. Roti bakar bersalut planta dicicah dengan teh panas terasa begitu nikmat dimakan dalam cuaca dingin di pagi hari.

Trek berpasir dan berdebu Gunung Rinjani.

Selepas mengisi perut, pada pukul 2.30 pagi bermulalah pendakian sebenar menuju ke Puncak Dewi Anjani. Trek yang dipenuhi batu kerikil kasar, debu dan berpasir merupakan cabaran terbesar yang perlu ditempuhi oleh kami. Satu langkah naik ke atas akan melurut 2 ke 3 langkah ke bawah disebabkan pasir gunung berapi. Trek pasirnya amat panjang dan cukup menyeksakan! Dengan cuaca yang begitu sejuk dan angin yang kencang, ia benar-benar menguji mental dan fizikal para pendaki. Di sinilah pendaki akan berlawan dengan kekuatan emosi, mental dan kekuatan diri masing-masing.

500m ke puncak!

Hampir give up

Aku hanya mampu melangkah beberapa tapak sahaja ke atas dan banyak berhenti berehat sambil melihat bintang-bintang yang bercahaya di langit. Semangat aku juga semakin goyah kerana terlalu penat mendaki dalam cuaca yang sejuk. Sunrise yang aku impikan di puncak Rinjani tidak tercapai. Hanya mampu menikmati sunrise di lereng gunung sambil berfikir mahu atau tidak meneruskan pendakian yang berbaki hanya 500 meter lagi. Beberapa meter untuk sampai ke puncak inilah yang paling dewa treknya. Memacak dan mencanak! Dengan nafas yang tercungap-cungap, aku juga hampir berputus asa dan memaksa sahabatku, Hafiq untuk menarik tangan aku supaya aku terus melangkah ke atas untuk sampai ke puncak Rinjani.

Milkyway Rinjani!

Sunrise dari puncak Rinjani tak kesampaian, dari lereng gunung pon cantik juga.

Tanjakan maut menuju ke puncak!

Akhirnya pada tanggal 7 May 2017, setelah berhempas pulas hampir 5 jam pendakian, tepat pukul 7.00 pagi, aku berjaya menjejakkan kaki di Singgahsana Sang Dewi Anjani yang berketinggian 3726 meter dari paras laut! Syukur Alhamdulillah! Dikenali sebagai Atap/Bumbung bagi kepulauan Lombok, pemandangan di atas puncak sangat indah dengan Gunung Barujari berada di tengah-tengah birunya tasik Danau Segara Anak! Matahari di ufuk timur terik memancar menampakkan keseluruhan pemandangan tasik dan gaung yang curam dikiri dan kanan kami.

Akhirnya sampai juga di puncak Dewi Anjani!

Menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan.

Pemandangan indah dari puncak Rinjani.

Pertualangan ke Puncak Dewi Anjani ini pastinya menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan! Terima kasih Rinjani kerana mengajarku supaya tidak mudah menyerah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Terima kasih team B88outdoors kerana sentiasa memberikan semangat dan terima kasih juga kepada guide dan porter kerana banyak membantu kami di sepanjang pendakian ini. Semoga bertemu lagi Puncak Anjani yang dirindui!

B88outdoors team!

B88outdoors bersama porter dan guide.

Panorama Rinjani.

 

Artikel ini disumbangkan oleh : Cik Nadzirah Hata