Kalau diperhatikan, kita selalu terjumpa artikel tentang apa yang patut dibuat ketika travel ke negara orang yang dikongsi oleh penulis blog. Kebanyakannya tentang tempat tarikan pelancong yang wajib kita lawati dan aktiviti serta perkara-perkara yang patut kita buat ketika travel. Tapi bagaimana pula dengan perkara-perkara yang tidak patut kita lakukan ketika travel? Jika diamati, banyak sebenarnya kesilapan yang kebanyakan traveller lakukan yang boleh membawa kepada pembaziran seperti penggunaan wang yang sia-sia dan masa yang tidak digunakan dengan sebaiknya. Memang mudah untuk merancang tapi kadang-kala kita terlupa untuk ambil kira perkara-perkara yang patut kita elakkan demi mengelakkan pembaziran yang tidak diingini.

Jadi untuk entry kali ini, kami akan kongsikan dengan anda beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh traveller yang patut anda elakkan.

Jika anda berjaya menghindari 9 kesilapan di bawah ini, kami pasti anda akan lebih bijak ketika travel, terutamanya dalam menguruskan wang dan masa anda.

JANGAN makan di kawasan pelancongan utama atau yang berdekatan dengannya.

 

Makanan berdekatan dengan kawasan pelancongan utama kebiasaannya dikenakan harga dua kali ganda lebih mahal dan kualitinya kurang berbanding di tempat lain. Ini kerana pemilik restoran tersebut tahu bahawa kita kemungkinan besar tidak akan datang lagi untuk makan di tempat yang sama. Mestilah kita nak rasa makanan di tempat lain juga kan? Dan oleh sebab itu, mereka kurang mengambil serius tentang kualiti makanan mereka. Lagipun, pada fikiran mereka, pelancong luar bukannya tahu tentang makanan tempatan mereka. Kita pula seronok menceritakan pengalaman makan pasta carbonara yang “sangat sedap” di restoran berhadapan dengan Colosseum kepada keluarga dan rakan-rakan kita di tanah air.

Berbeza pula dengan restoran tempatan yang bukan bertujuan untuk menarik pelancong luar. Restoran-restoran ini perlu memastikan dan mengekalkan kualiti makanan mereka kerana jika tidak, mereka akan kehilangan pelanggan-pelanggan mereka yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk-penduduk di situ. Jadi, elakkanlah diri daripada terjerat dalam perangkap restoran-restoran tarikan pelancong ini. Tidak salah sekiranya kita berjalan jauh sedikit untuk mendapatkan makanan dengan harga yang lebih berbaloi. Lagi jauh anda daripada kawasan tarikan pelancong, lebih bercitarasa tempatan dan lebih murah makanan yang dijual. Anda juga boleh menggunakan laman web atau mobile applications seperti Zomato dan Foursquare bagi memudahkan anda mencari restoran tempatan yang mempunyai rating yang tinggi dan disarankan oleh penduduk di situ.

Cara lain yang juga anda boleh lakukan adalah dengan bertanya kepada penduduk tempatan di situ kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik di kawasan mereka. Kami yakin kebanyakan daripada mereka pasti tidak akan keberatan untuk membantu anda!

JANGAN tukar mata wang di lapangan terbang.

Kadar pertukaran nilai mata wang di lapangan terbang adalah sangat tinggi berbanding di money changer. Oleh itu, adalah lebih berbaloi sekiranya anda menukar mata wang kepada mata wang yang lain awal-awal sebelum ke luar negara. Terdapat banyak money changer yang menawarkan kadar pertukaran mata wang yang lebih rendah berbanding di lapangan terbang. Malah, kebanyakan pusat membeli-belah juga ada manawarkan servis ini.

Selain daripada money changer, anda juga boleh menukar wang anda di bank-bank tempatan seperti CIMB, Maybank dan Public Bank. Namun begitu, anda perlu rajin untuk mencari bank yang menawarkan kadar pertukaran nilai mata wang yang rendah kerana kadar yang dikenakan oleh setiap bank adalah berbeza-beza mengikut bank.

Jika anda rasa tidak yakin untuk membawa duit cash yang banyak ketika melancong ke luar negara, anda juga boleh menggunakan kad ATM atau kad kredit bank Malaysia di sana. Cara ini sememangnya lebih selamat kerana anda tidak perlu menukarkan wang terlalu banyak untuk dibawa bersama ketika melancong. Kebiasaannya, kadar pertukaran nilai mata wang yang dikenakan oleh bank adalah lebih murah berbanding di money changer. Tapi anda perlu memastikan terlebih dahulu bahawa kad anda boleh digunakan di luar negara. Sebelum ke luar negara, hubungi terlebih dahulu bank anda untuk menyemak sama ada fungsi penggunaan di luar negara bagi kad bank anda sudah diaktifkan atau belum. Sekiranya belum, pihak bank akan menasihati anda akan langkah-langkah seterusnya untuk mengaktifkan fungsi tersebut. Oh dan jangan lupa untuk bertanyakan juga tentang caj tersembunyi yang mungkin dikenakan oleh bank bagi membuat transaksi di luar negara. Jika terlalu tinggi, adalah lebih baik sekiranya anda menukar wang anda siap-siap sebelum ke luar negara. Anda juga digalakkan untuk meningkatkan kadar pengeluaran atau perbelanjaan kad anda sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara yang tidak boleh dielakkan.

JANGAN hanya bergantung pada enjin carian besar.

Dengan mengehadkan pencarian anda kepada hanya menggunakan search engine atau laman web yang besar sahaja, anda akan mengurangkan peluang anda untuk mendapatkan deal yang mungkin jauh lebih murah berbanding apa yang anda jumpa di laman web seperti ini. Hal ini kerana kebanyakan search engine atau laman web seperti ini tidak mengiklankan syarikat penerbangan tambang murah yang lebih kecil. Betul, tiada satu pon laman web carian yang menawarkan tawaran yang terbaik sepanjang masa. Tetapi elakkan daripada bergantung sepenuhnya pada sesuatu laman web. Luaskan carian anda. Terdapat banyak lagi search engine yang boleh digunakan untuk mencari penerbangan yang jauh lebih murah seperti Skyscanner dan Momondo.

Jangan abaikan travel insurance.

Mungkin anda rasa dengan mengambil travel insurance ini hanya akan menambah perbelanjaan anda sahaja. Tetapi anda perlu sedar bahawa apa-apa sahaja boleh berlaku ketika anda travel. Anda mungkin dirompak ketika sedang menunggu bas. Anda juga boleh terlibat dalam kemalangan jalan raya sepertimana ianya boleh terjadi di negara anda sendiri. Mungkin juga anda terpaksa meninggalkan negara tersebut kerana bencana alam yang berlaku. Macam-macam perkara boleh berlaku walau sebaik manapun kita merancang perjalanan kita. Travel insurance mampu melindungi anda ketika anda berada di luar negara dan sememangnya tidak patut dielakkan. Anda HARUS mengambil travel insurance sekiranya anda bercadang untuk ke luar negara kerana ia bertujuan untuk melindungi anda sekiranya berlaku sebarang kecemasan termasuklah medical dan non-medical emergency. Jika sesuatu berlaku kepada anda, contohnya seperti kemalangan, dan anda tidak mempunya insurans, semua kos perbelanjaan perubatan yang kebiasaannya boleh mencecah sehingga beribu-ribu ringgit harus ditanggung oleh anda sendiri.

JANGAN menolak untuk tinggal di hostel.

Ada sesetengah daripada kita yang menganggap hostel adalah tempat tinggal yang paling tidak selesa ketika travel. Kita membayangkan kemudahan di hostel ini tidak terjaga, busuk dan kotor, serta hanya menjadikan pelajar kolej yang kurang berkemampuan sahaja sebagai target mereka. Benar, tapi itu dahulu. Kebanyakan hostel pada zaman sekarang ini lebih bersih dan mempunyai lebih banyak kemudahan berbanding hotel. Mereka menawarkan macam-macam kemudahan untuk menarik lebih ramai pelancong, terutamanya daripada golongan muda, termasuklah pool table, bilik teater, permainan video seperti Xbox, komputer, kemudahan dobi, Wi-Fi percuma, dan juga organized tours. Kemudahan bilik yang mereka sediakan juga adalah pelbagai bagi memenuhi kehendak pelanggan mereka yang macam-macam style. Hostel kini bukan hanya untuk golongan yang melancong secara bajet sahaja. Malah ianya sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka yang gemar travel kerana hostel sudah menjadi seperti hub bagi individu yang ingin terlibat dalam sesuatu komuniti dan mempunyai minat yang sama dalam travelling.

JANGAN elakkan dari menggunakan hospitality networks.

Hospitality networks ini seperti Servas, Be Welcome ataupun yang paling popular, Couchsurfing, membolehkan traveller untuk tinggal bersama penduduk tempatan secara PERCUMA. Memang seronok dapat tempat tinggal percuma tapi manfaat yang lebih besar adalah anda berpeluang untuk berkenalan dan berkawan dengan orang dari pelbagai asal-usul dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama mereka. Kenalah ada inisiatif sikit untuk bergaul dengan mereka. Hospitality networkds seperti ini merupakan salah satu cara yang paling mudah untuk mengenali budaya dan bergaul dengan penduduk tempatan di negara yang anda lawati itu. Anda boleh bertukar cerita, pengalaman dan pendapat dengan mereka dan pada masa yang sama, anda secara tidak langsung telah melibatkan diri anda dalam cross-cultural exchange.

JANGAN mengambil teksi.

Teksi merupakan medium pengangkutan yang paling perlu dielakkan oleh setiap traveller kerana kebiasaannya, kadar yang dikenakan adalah terlalu mahal. Satu-satunya sebab yang boleh dipertimbangkan untuk anda menggunakan teksi adalah jika anda membahagikan tambang dengan penumpang lain atau anda perlu ke sesuatu tempat ketika waktu sudah lewat malam. Selain daripada dua sebab ini, lebih berbaloi sekiranya anda menaiki pengangkutan awam yang lain seperti bas dan monorel.

JANGAN kedekut wang untuk menjimatkan masa.

Seperti yang selalu kita dengar, masa itu emas. Oleh kerana kebanyakkan daripada kita mempunyai lebih banyak masa daripada wang ringgit, kita lebih cenderung untuk menjimatkan wang ketika travel dengan menggadaikan masa. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa masa adalah sesuatu yang bernilai. Mungkin anda boleh jimat $2 dengan berjalan kaki daripada menaiki bas. Tetapi anda rasa berbaloi ke kalau dengan berjalan kaki itu menyebabkan anda memakan masa satu jam tambahan untuk tiba ke destinasi yang ingin anda tuju itu? Budget travel bukan bererti anda perlu menjimatkan duit sehabis boleh. Budget travel adalah tentang kebolehan dan kebijaksaan anda dalam menguruskan wang dan juga masa anda. Elakkan dari membazir masa sepertimana anda sentiasa menahan diri daripada menggunakan wang dengan sewenang-wenangnya ketika travel, okay?

JANGAN tempah trip terlalu awal.

Memang seronok dan teruja apabila teringatkan percutian yang telah kita rancang. Rasa tak sabar untuk tempah flight tickets, hotel dan pakej percutian yang ada. Tapi tunggu dulu! Sekiranya anda book semua itu awal-awal, anda telah melakukan satu kesilapan yang bakal merugikan anda. Kerana akhirnya, anda akan menjadi orang yang membayar lebih daripada orang lain. Kami yakin anda sudah biasa dengar peribasa Inggeris yang menyebut “the early bird gets the worm”, kan? Tetapi bila kita bercakap tentang travel, jarang orang yang paling awal dapat habuan yang terbaik. Oleh sebab itu, jangan gelojoh. Sabar kerana akan banyak lagi deal lain yang lebih berbaloi bakal muncul pada skrin komputer anda. Banyakkan membaca dan membuat research sebelum anda memutuskan untuk book percutian anda.

Dengan mengelakkan diri anda daripada terjerat dalam kesilapan yang telah kami kongsikan di atas, kami pasti semunya akan berjalan dengan lebih baik, memuaskan, serta lebih menjimatkan wang dan masa semasa anda travel nanti. Tidak rugi pun sekiranya kita letakkan usaha yang lebih sedikit demi menjadi seorang yang bijak ketika travel. Malah, ia akan lebih menjimatkan anda, dan lebih banyak anda berjimat, lebih banyak peluang anda untuk travel!

Sama-samalah kita belajar untuk menjadi traveller yang bijak, okay?